(Mingguan Malaysia 13 May 2007)
Antara maqasid al-Syariah dan demokrasi Barat
Oleh Dr. Syed Ali Tawfik al-Attas
Kita biasa mendengar ceramah-ceramah umum dan ucapan-ucapan yang menyanjung
tinggi sifat-sifat Nabi Muhammad (s.a.w.) sebagai contoh teragung.
Kebanyakan ucapan itu menekankan kelebihan menuntut ilmu pengetahuan supaya umat
Islam berupaya membebaskan diri mereka dari kejahilan dan kemiskinan, dan
seterusnya membangunkan diri mereka demi maruah umat keseluruhannya. Pada masa
yang sama, di tempat-tempat lain dalam dunia Islam, berlaku pembunuhan beramai-ramai, ratusan ribu menghadapi ancaman kebuluran; manakala jutaan yang lain
dipaksa hidup di bawah pemerintahan yang ganas dan zalim. Pada kebanyakan
keadaan, jenayah-jenayah yang disebutkan itu bukan dilakukan oleh orang bukan
Islam sebaliknya oleh umat Muslim ke atas saudara seagama mereka.
Jenayah-jenayah ini dilakukan umat Muslim yang sepatutnya memahami agama Islam,
suatu agama yang meletakkan budaya ilmu sebagai matlamat terpenting dalam setiap
segi kehidupan. Keadaan ini tidak membantu dunia Islam menzahirkan wajah mesra
Islam kepada dunia Barat. Dunia Barat secara umumnya melihat Islam sebagai agama
yang ganas, yang membayangkan ketidakwarasan, yang menjadi penghalang
pembangunan. Akibatnya, kebanyakan umat Muslim, tidak kira lelaki atau perempuan,
dianggap mundur, pelampau yang menyeleweng serta cenderung kepada keganasan.
Dunia Islam hari ini sedang menderita hasil kemelut pengenalan makna diri yang
disebabkan oleh kejahilan, atau lebih tepat lagi kehampaan ilmu yang bermanfaat.
Pada hari ini, dunia Islam menghadapi tekanan yang amat hebat dari dunia Barat,
Amerika Syarikat (AS) dan sekutu-sekutunya; suatu keadaan yang tidak boleh
dibandingkan dengan apa yang pernah berlaku sebelum ini. Bagi dunia Barat,
sesetengah orang mungkin mengatakan buku Huntington, Clash of Civilizations
adalah buku ramalan yang menjangkakan pertembungan tamadun antara Islam dan
dunia Barat. Tetapi adakah ini benar? Merujuk kepada kedua- dua tamadun dunia
yang dinyatakan itu, Huntington tidak sepatutnya membangkitkan persoalan
percanggahan pemikiran yang dianggap hampir berlaku. Sekiranya kita menerima
wujudnya ‘percanggahan’, sememangnya ia telah pun berlaku sebaik sahaja Islam
dilahirkan. Sekiranya Huntington bermaksud percanggahan tamadun yang bakal
berlaku pada masa hadapan, sewajarnya terlebih dahulu ditakrifkan apakah yang
kita maksudkan dengan ‘tamadun’. Untuk mencadangkan suatu kerangka pemikiran
yang mendasari kebangkitan sesuatu tamadun, adalah wajar tamadun berkenaan
dikaji sehingga kebangkitan kegiatan-kegiatan ilmiah dan akliahnya dikenal
pasti. Kegiatan-kegiatan ilmiah dan akliah adalah ciri khusus yang membezakan
sesuatu tamaddun dengan yang lain bergantung kepada budaya dan sejarah
masing-masing. Walau bagaimanapun, unsur yang menyatukan semua tamadun ialah
kerangka pemikirannya, yang melaluinya ditemui penjelasan-penjelasan terhadap
kebangkitan ilmu-ilmu pengetahuan dalam tamadun-tamadun berkenaan. Kerangka
pemikiran inilah yang kita rujuk sebagai pandangan alam (worldview). Jelasnya,
kebangkitan dan kemerosotan sesebuah tamadun bergantung kuat kepada kecergasan
akliah. Semakin banyak pemikiran dizahirkan semakin banyak ilmu dikumpulkan.
Pengumpulan ilmu ini mahu tidak mahu akan membawa perubahan terhadap
pemikiran-pemikiran yang tertentu. Sesetengah pegangan asas akan dipersoalkan,
dan kesimpulan-kesimpulan yang diperoleh akan membuahkan lebih banyak persoalan
hinggalah kesimpulan-kesimpulan dicapai, dan secara beransur-ansur
institusi-institusi akan diasaskan.
Oleh itu, kita boleh simpulkan bahawa, pandangan alam, ataupun dasar-dasar
pemikiran yang mentakrifkan budaya dan sejarah adalah khusus bagi setiap
tamadun. Kita menggunakan istilah ‘khusus’ bagi merujuk kepada setiap tamadun
dan oleh itu, bolehlah disimpulkan bahawa pasti wujud perbezaan antara mereka.
Secara umum, bolehlah dianggap bahawa pandangan alam Barat dibentuk oleh
pengalaman sejarah; dengan kata lain, ia dibentuk oleh rangkaian aliran akliah
setiap satunya dicirikan oleh gagasan pemikiran yang diperoleh dari kebudayaan
dan perkembangan sains semasa. Pada dasarnya ia bukan diperoleh dari wahyu, oleh
itu ia tidak kekal, sentiasa bergantung kepada pemikiran-pemikiran baru yang
sentiasa berubah dari masa ke masa. Di samping itu, kita menegaskan bahawa oleh
kerana pandangan alam Barat tidak merangkumi ilmu wahyu, secara mantiqnya
tiadalah apa yang dinamakan unsur-unsur asasi.
Sebaliknya, pandangan alam Islam bukan dilahirkan oleh kebudayaan atau kemelut
kemasyarakatan, bukan juga bergantung kepada sejarah atau penemuan-penemuan
sains. Sebaliknya pandangan alam itu sendiri yang melahirkan budaya dan tamadun.
Secara ringkas, wahyulah yang memancarkan unsur-unsur asasi pandangan alam,
unsur-unsur di mana ilmu berkenaan dengannya berasas kepada keyakinan. Dari penjelasan ringkas ini, bolehlah disimpulkan dengan kepastian bahawa
kesimpulan-kesimpulan Huntington berkenaan pertembungan yang begitu hampir itu
adalah juga silap, merujuk kepada hakikat bahawa takrif ‘pandangan alam’ itu
berbeza antara satu tamadun dengan yang lain, dan sekali lagi perbezaan ini
bertambah nyata dengan kelahiran Islam.
Pengaruh pandangan alam dunia Anglo-Judaic kelihatan jelas dalam pendekatan
siasah yang mereka gunakan. Dalam tiga ratus tahun kebelakangan ini pendekatan
itu merujuk kepada demokrasi. Kononnya apa yang dunia Islam perlukan ialah
demokrasi mengikut acuan faham Barat dalam sukatan yang betul. Setengah orang
berhujah bahawa demokrasi Barat dan Islam tidak serasi, dan ketidakserasian ini
akhirnya akan menjuruskan kepada pertembungan ketamadunan.
Dirujuk
Takrif demokrasi Barat bergantung kepada siapa yang dirujuk. Umumnya semua
bersetuju bahawa salah satu unsur asasi, atau mungkin lebih tepat lagi,
prasyarat demokrasi, ialah badan kehakiman mestilah bebas sepenuhnya daripada
pihak eksekutif dan legislatif, manakala pihak legislatif lebih utama dari
eksekutif. Di samping itu, kebebasan- kebebasan asasi seperti dalam soal
kesaksamaan, pemikiran, ucapan, harta, ibadat dan perusahaan mesti dilindungi
dan dihormati oleh kerajaan, yang turut tertakluk kepada undang-undang. Apabila
prasyarat- prasyarat ini dipenuhi, sesebuah demokrasi mesti mengadakan undang-
undang pilihan raya yang tidak menghalang kebebasan memilih kerajaan dan
Parlimen yang telah dipilih oleh sekurang-kurangnya lima puluh peratus pengundi,
dan mesti ada sekurang-kurangnya dua pertubuhan siasah yang telah melalui
perubahan sekurang- kurangnya sekali melalui pemilihan bebas. Kita boleh
simpulkan bahawa tujuan asasi demokrasi ialah keadilan, kerana sifat paling
utama demokrasi ialah ia tidak boleh dipaksakan ke atas sesiapa pun.
Sekiranya institusi demokrasi dikatakan tidak serasi dengan Islam, mari kita
selidiki apakah sebenarnya pandangan Islam tentang perkara ini.
Institusi
demokrasi telahpun wujud dalam Islam dalam bentuk maqasid al-Syariah, ertinya
maksud- maksud atau tujuan-tujuan Syariah, kebanyakan telah dibahaskan oleh para
ilmuwan besar Islam. Terdapat lima perkara asasi; pertama, kebebasan pemikiran
hendaklah dipertahankan, dan ini termasuk kebebasan bersuara; kedua, kebebasan
beribadat mesti dipertahankan; ketiga, hak kepada harta dilindungi; keempat,
hak-hak kemanusiaan disuburkan; kelima, pendidikan, kesihatan, alam sekitar dan
sebagainya dipelihara. Sekiranya lima perkara asasi ini dilaksanakan dengan niat
yang betul, pembangunan kemanusiaan mustahil tidak dapat dilaksanakan,
kemiskinan tidak akan berlaku, penyelewengan tidak akan bermaharajalela, jenayah
tidak akan meningkat, dan pemerintahan kuku besi tidak akan wujud. Kesemua
perkara ini merupakan inti pati Syariah, oleh itu kita boleh simpulkan bahawa
tujuan sebenar Syariah ialah keadilan. Justeru, bagi menjawab persoalan tadi
kita boleh nyatakan dengan yakin bahawa institusi demokrasi bukanlah tidak
serasi dengan Islam.
Akan tetapi kenapa pula demokrasi kelihatannya tidak menjadi di kebanyakan
negara Islam sekiranya benar institusi demokrasi itu serasi dengan Islam? Apakah
kesilapan kita? Para ilmuwan semasa dari kedua-dua tamadun menegaskan bahawa
para pemikir Barat mula meninjau institusi-institusi Islam pada seawal kurun ke-
sepuluh, seterusnya memperkenalkannya di negara masing-masing; antaranya
institusi demokrasi seperti yang ditakrifkan oleh maqasid al-Syariah, yang
kemudiannya menjadi asas kepada undang-undang Barat. Oleh kerana itu sebahagian
bertanya, kenapa tidak sahaja digunapakai institusi demokrasi Barat? Sebelum ini
kita telah nyatakan bahawa kerangka pemikiran atau dasar-dasar akliah yang
menunjangi kebangkitan ilmu pengetahuan bagi tamadun-tamadun ialah pandangan
alam, yang bergantung kuat kepada kecergasan akliah, dan ia merupakan kunci
kepada pengumpulan ilmu, yang secara beransur-ansur menghasilkan
institusi-institusi. Kita juga telah menerangkan perbezaan antara pandangan alam
Islam dan Barat. Dunia Barat, dalam meminjam institusi-institusi Islam,
mentafsir dan memahami institusi- institusi berkenaan berdasarkan pandangan alam
mereka, pandangan alam yang tidak tetap dan tiada mempunyai hakikat memandangkan
ia menderitai penyakit akibat kekecewaan mereka terhadap apa yang mereka kenali
sebagai ilmu wahyu.
Oleh kerana itu, sekiranya kita kini mengguna pakai institusi-institusi
berkenaan tanpa terlebih dahulu mentafsir dan memahaminya berdasarkan pandangan
alam Islam, yang bersifat tetap tidak berubah, dan diasaskan kepada keyakinan
yang bersumberkan wahyu, sepatutnya jelas bahawa apa yang terhasil ialah sesuatu
yang tidak selari dengan Islam. Dan inilah sebabnya kita tidak boleh
sewenang-wenangnya mengguna pakai institusi demokrasi Barat. Apa yang
menyedihkan inilah yang cuba dipaksakan ke atas dunia Islam untuk mereka
lakukan. Kita hanya perlu melihat bagaimana maqasid al- Syariah difahami.
Kebebasan berfikir difahami secara dangkal sebagai perlindungan terhadap akal.
Difahami sedemikian, ia hanya merujuk kepada diri peribadi. Tambahan pula
perlindungan terhadap akal bergantung kepada ikhtiar berfikir. Kebebasan
beribadat pula difahami semata-mata perlindungan terhadap agama Islam.
Seolah-olahnya agama Islam itu di ambang kepupusan; manakala hak-hak asasi
manusia difahami sebagai perlindungan terhadap jiwa. Sekali lagi kefahaman ini
merujuk kepada diri peribadi. Pemeliharaan pendidikan, kesihatan, alam sekitar
dan seterusnya difahami sebagai perlindungan terhadap waris keturunan. Namun,
bagaimana mahu memelihara keturunan sekiranya mereka tidak diberikan pendidikan
yang sewajarnya, atau lebih teruk lagi sekiranya alam semesta ciptaan Allah ini
dimusnahkan? Ini tidak boleh dilakukan sekiranya kehendak Syariah dihadkan
kepada pengharaman zina contohnya, kerana ia tidak masuk akal.
Terdahulu kita telah nyatakan bahawa institusi demokrasi dalam tamadun Islam
telah pun dibahaskan oleh para ilmuwan besar. Kita juga telah nyatakan bahawa
perpindahan institusi-institusi Islam ke dunia Barat, antaranya termasuklah
institusi demokrasi menurut aliran agama Islam, telah dilakukan oleh
ilmuwan-ilmuwan besar. Pastilah sekiranya kita mahu memindahkan
institusi-institusi aliran Barat ke dunia Islam tanggungjawab melakukannya
diamanahkan kepada ilmuwan yang tinggi kelayakannnya. Adakah ilmuwan sedemikian
wujud hari ini? Tentunya ada, akan tetapi malangnya kewujudan mereka tidaklah
menonjol dibanding dengan golongan pelampau. Setengah orang bertanya, apakah
perbezaan antara dua golongan ini?
Ilmuwan Islam berjuang untuk ilmu berpandukan kepada unsur-unsur asasi yang
diperoleh dari wahyu yang ditafsirkan dalam batas-batas akal. Dengan kata lain,
ilmuwan Islam bergantung terutamanya kepada qiyas bagi membina epistemologi. Golongan pelampau, sebaliknya bergantung kepada makna harfi wahyu. Dengan
berbuat demikian mereka telah menghapuskan pembuktian secara qiyas dan
menggantikannya dengan khitabah (rhetoric). Maksudnya mereka tidak mampu membina
suatu epistemologi dan oleh itu, pemerolehan ilmu adalah mustahil tercapai. Akan
tetapi kita telah nyatakan sepintas lalu bahawa penguasaan ilmu bukan sahaja
batu asas semua tamadun, bahkan ia merupakan budaya ilmu yang menjadi tonggak
agama Islam.
Kita telah membenarkan unsur pelampau mencerobohi kalangan kita. Unsur inilah
yang menghapuskan unsur epistemologi dalam bidang keilmuan. Ini adalah kemelut
yang dideritai oleh dunia Islam, dan kerana itulah timbulnya hajat kepada
menghidupkan kembali budaya keilmuan Islam. Apa yang kelihatan kepada pemerhati
biasa sebagai perbezaan pendapat yang berpunca dari perselisihan makna
sebenarnya bukan demikian. Bahkan hakikatnya apa yang dilihat sebagai perdebatan
mengenai makna itu adalah merupakan hasil tanggapan yang salah terhadap
faham-faham falsafi.
Adakah demokrasi seperti yang difahami dunia Barat penyelesaian kepada kemelut
semasa dunia Islam? Tentunya tidak. Walau bagaimanapun, walaupun pandangan alam
Barat itu tidak tetap, ia tidak menafikan semua ilmu. Sebaliknya, dengan
meminjam institusi-institusi pendidikan dari dunia Islam, dunia Barat telah
membina epistemologinya sendiri. Akan tetapi epistemologi ini tidak bergantung
kepada qiyas dan pembuktian secara qiyas sebaliknya kepada jadal dan hujah
jadaliah. Keadaan ini berlaku kerana pandangan alamnya tidak boleh menerima
qiyas lantaran penolakannya terhadap ilmu wahyu. Akibatnya tidak mungkin boleh
dibina dan ditakrifkan faham-faham falsafi yang kukuh dan sah. Sebagai contoh,
faham kebebasan seperti yang disuarakan oleh demokrasi Barat tidak memiliki
unsur tanggungjawab dan dengan sebab itu difahami sebagai satu hak (right). Jadi
kebebasan bersuara dan berpendapat ditafsirkan sebagai hak untuk berkelakuan
sekehendak hati selagi mana diterima oleh masyarakat, sedangkan penerimaan itu
sendiri bergantung kepada pengenalan diri (identity) yang sentiasa dalam keadaan
umbang- ambing. Menurut agama Islam dan para ulama besar zaman silam, faham
kebebasan itu berhubung rapat dengan tanggungjawab dan dengan demikian,
kebebasan difahamkan sebagai pilihan yang lebih baik. Akibatnya, sekiranya
kebebasan-kebebasan berkenaan diamalkan dalam batasan tanggungjawab, hasilnya
ialah keadilan yang ditandakan dengan keamanan dan ketenteraman.
Apabila institusi demokrasi aliran dunia Barat bercakap tentang hak-hak manusia,
hanya itu yang dimaksudkan, hak. Sebaliknya, apabila institusi demokrasi menurut
aliran pandangan alam Islam bercakap tentang hak-hak manusia, ia difahami
sebagai amanah. Demikianlah halnya apabila institusi demokrasi aliran dunia
Barat berbicara tentang persamaan jantina, hak-hak wanita, yang dimaksudkan
lebih merujuk kepada hak terhadap taraf yang sama, yakni lelaki dan wanita patut
memiliki hak-hak yang sama. Pandangan sebegini terbit hasil daripada kekecewaan
terhadap agama yang telah kita sebutkan sebelum ini. Hawa (Eve) disalahkan
sebagai punca kejatuhan (Adam). Dialah yang mempengaruhi Adam supaya memakan
buah larangan sehingga kedua-duanya dibuang dari syurga dan dihantar ke dunia
ini. Sepanjang sejarah hadarah Barat khususnya pada zaman gelap dan pertengahan,
sekian ramai wanita dibicarakan atas tuduhan mengamalkan ilmu sihir. Sehingga
kini malapetaka alam diberikan nama-nama wanita, seolah-olahnya semua itu
berpunca dari bumi pertiwi (mother earth) sendiri.
Mentakrifkan
Sebelum institusi demokrasi menurut aliran pandangan alam Islam diminta
mentakrifkan persamaan jantina dalam rangka pemerkasan atau hak-hak,
kita mesti
terlebih dahulu membahaskan soal tanggungjawab. Adakah lelaki dan wanita memikul
tanggungjawab yang sama? Kalau jawapannya ‘ya’, apakah tanggungjawab-
tanggungjawab itu? Kalau tidak, bagaimana boleh dituntut hak yang sama? Tambahan
pula, kalau kita halusi maksud istilah ‘amanah’ kita dapati ia berpunca dari
akar alif, mim dan nun. Dari akar yang sama terbit istilah iman, amin dan aman.
Merujuk kepada istilah iman, ia merupakan rukun Iman yang pertama. Ia adalah
prasyarat di mana kebenaran (al-Haq) diakui, dan istilah ‘al-Haq’ ini merangkumi
juga apa yang dimaksudkan dengan ‘right’ dalam bahasa Inggeris. Oleh sebab itu,
sebelum mula berbicara berkenaan ‘right’, seseorang itu mesti terlebih dahulu
menerima tanggungjawab (responsibility). Hanya dengan demikian, suatu keadaan
yang benar, yakni amin, akan dizahirkan seperti yang ditandakan oleh keamanan
dan ketenteraman. Kesemua keadaan ini akan menghasilkan keadilan.
Sekali lagi, apabila institusi demokrasi menurut aliran Islam bercakap tentang
persamaan jantina, ia dimaksudkan sebagai persamaan peluang. Islam tidak berat
sebelah mahupun bersifat pilih kasih dalam soal menuntut ilmu. Sebaliknya ia
adalah satu-satunya agama yang mengingat semua manusia tentang kepentingan ilmu.
Islam tidak membeza-bezakan antara si penuntut ilmu. Menurut budaya Islam,
contoh terbaik ilmuwan wanita ialah Aishah. Islam juga tidak menghalang wanita
menuntut habuan ekonomi. Lihat sahaja kepada Khadijah, wanita terkaya di
Semenanjung Tanah Arab yang kemudiannya dikahwini oleh Rasulullah (s.a.w.).
Contoh-contoh yang diberikan ini tiada kena-mengena dengan persoalan
‘semantics’. Sebaliknya faham falsafi yang menentukan bagaimana contoh-contoh
ini difahami.
Sekiranya kita ingin mengatasi kemiskinan, kita mesti berusaha menuntut ilmu
yang benar. Ini sebenarnya adalah ‘hak’, kerana kita telah menyanggupi suatu
tanggungjawab, dan kita tidak boleh dihalang darinya.