dipetik dari akhbar MINGGUAN MALAYSIA
Memahami takrif ilmu
Oleh: DR. SYED ALI TAWFIK AL-ATTAS
Mukadimah
SETIAP dua minggu mulai minggu ini, Dr. Syed Ali Tawfik Al-Attas akan menulis
dalam ruangan ini – Cetusan Pemikiran. Beliau akan mengupas pelbagai isu
pilihannya. Dr. Syed Ali ialah Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia
(IKIM). Beliau dilantik ke jawatan itu mulai 1 Jun 2005.
Lulusan University of North Carolina dalam bidang biologi dan berkelulusan Ph.D
daripada Universiti Islam Antarabangsa ini pernah memegang jawatan Penolong
Profesor di Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabansga (ISTAC).
Dr. Syed Ali juga pernah menjawat jawatan Fellow Penyelidik di ISTAC mulai Jun
1995 hingga Oktober 2002 sebelum dilantik menjadi pensyarah di institut yang
sama.
Beliau fasih dalam lima bahasa termasuk Arab, Yunani dan Itali serta pernah
menulis beberapa buah buku dan terjemahan.
Antara buku yang ditulis beliau ialah Abdullah Ahmad Badawi: Revialist of an
Intelectual Tradition.
Selain itu beliau juga pernah menghadiri beberapa persidangan antarabngsa
seperti History of Medicine and The Hippocratic di Island of Kos, Greece pada
1996 dan Al-Ghazali’s Legacy, persidangan yang dianjurkan oleh ISTAC pada 2001.
Berkenaan makalah “Meeting to sort out creation poser” (The Sun, 14 Disember
2006), berikut dikemukakan beberapa ulasan yang perlu diberi perhatian. Makalah
tersebut melaporkan rasa kurang senang individu-individu tertentu terhadap
Kementerian Pelajaran dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) kerana menerbit dan
menggunakan – untuk kurikulum sains Tahun Lima – buku teks baru yang mengandungi
ayat “semua benda hidup adalah diciptakan oleh Tuhan”. Makalah itu mengatakan
bahawa, ada ibu bapa yang menentang “penerapan ajaran agama dalam pengajaran
sains.” Seorang daripada mereka telah menyatakan kepada Nanyang Siang Pau bahawa
“teori penciptaan tidak seharusnya dicampurkan dengan pengetahuan sains, yang
berasaskan logik dan fakta, sambil menambah bahawa kementerian terbabit mesti
membezakan antara sains dengan agama.” Di samping itu, Naib Presiden parti
KeADILan, Dr. Lee Boon Chye menyatakan bahawa “kementerian Pelajaran harus
memastikan kesilapan yang sama tidak berulang”; dia tidak “fikir konsep-konsep
yang diajarkan oleh agama mempunyai tempat dalam buku teks sains.” The Sun turut
memuatkan beberapa teori mengenai asal-usul kehidupan yang didapati dari sumber
internet.
Pertama-tamanya, buku teks yang dipermasalahkan tersebut adalah untuk
murid-murid Tahun Lima yang berusia 11 tahun. Adakah bijak bagi kita untuk
menuntut kanak-kanak dalam usia tersebut untuk memahami dan menerima faham-faham
yang sangat mujarad (abstrak) mengenai kewujudan dan penciptaan dan tanggapan-
tanggapan falsafah seperti teori evolusi? Syariah Islam tidak menganggap
kanak-kanak 11 tahun sebagai memiliki keupayaan akal yang matang, dan tidak
dibebankan dengan sebarang tanggungjawab taklif agama; begitu juga undang-undang
sivil tidak menganggap kanak-kanak 11 tahun sebagai seorang dewasa atas alasan
yang serupa. Justeru bagaimana kita sebagai ibu bapa boleh menganggap
kanak-kanak 11 sebagai matang dan memiliki akal yang cukup masak untuk secara
bijak memahami faham-faham mujarad atau konsep-konsep abstrak yang sangat sulit
untuk difahami dalam bidang sains? Kita telah menyatakan bahawa faham-faham yang
sangat abstrak mengenai kewujudan dan penciptaan, dan teori evolusi, adalah
konsep-konsep falsafah. Kerana itu, kedua-duanya tidak wajar dimasukkan dalam
kurikulum sains tulen (pure sciences) atau sains jitu (exact sciences). Adalah
lebih wajar sekiranya perkara-perkara tersebut dibincangkan dalam bidang
falsafah sains. Ibu bapa mana yang akan mengharap kanak-kanak 11 tahun untuk
memahami erti faham-faham falsafah yang mujarad yang terkandung dalam falsafah
sains? Justeru itu masalah sebenar bukan sama ada perlu mengajar kanak-kanak di
sekolah mengenai faham penciptaan atau faham evolusi, bukan juga masalah memisah
dan membezakan antara sains dan agama. Masalah sebenar adalah soal tanggungjawab,
di mana kita menuntut kanak-kanak 11 tahun yang belum matang untuk mengerti
mengenai faham-faham yang di luar batas keupayaan akal mereka. Yang hairannya,
inilah yang dituntut oleh sebahagian ibu bapa, para penulis buku teks dan
Kementerian Pelajaran, daripada kanak-kanak 11 tahun. (Kita tidak percaya ini
perbuatan yang sengaja dilakukan; bahkan, ia adalah kesilapan pertimbangan yang
dilakukan secara tidak sedar akibat kurangnya kefahaman.) Bagaimana kita pasti
bahawa inilah yang dituntut dari kanak-kanak 11 tahun oleh segelintir ibu bapa,
penulis buku teks tersebut, dan Kementerian Pelajaran? Mari kita kupas
sebahagian daripada ulasan-ulasan yang telah diberikan.
Pertama-tamanya, lihat sahaja kalimat- kalimat yang digunakan oleh para pengulas
tersebut, seperti penerapan (infusing), teori penciptaan (creation theory),
mantik atau logik (logic), hal sebenar atau fakta (fact), faham-faham agama
(religious concepts), sains (science) dan agama (religion). Sekiranya kita
menilik semua ulasan yang telah dibuat, ada kesan bahawa terdapat pemisahan
nyata antara faham yang dianjurkan oleh sains dengan faham yang diusulkan oleh
agama. Dengan menggunakan istilah “penerapan” atau “memasukkan” (infuse),
pengulas tersebut telah membuat andaian bahawa sains memang benar-benar berbeza
dan terpisah dari agama. Ini semakin jelas dalam ulasan selanjutnya yang merujuk
kepada apa yang dipanggil “teori penciptaan” dan sains adalah “mengenai fakta
dan logik.” Jelas di sini bahawa sains tidak ada tempat dalam agama dan
sebaliknya agama tidak ada tempat dalam sains, dan sebarang usaha untuk
mentakrifkan sains dalam kerangka “agama” merupakan satu “kesalahan”. Sangat
terang di sini bahawa sains telah difahami dalam kerangka Barat tanpa
benar-benar memahami apakah yang menyebabkan Barat mentakrifkan sains seperti
yang tersebut. Justeru bolehlah disimpulkan bahawa faham “agama” juga telah
difahami dari pandangan hidup Barat. Walau bagaimanapun, harus diingat bahawa
bila kita berbicara mengenai “Barat”, kita tidak merujuk kepada kedudukan
geografi yang tertentu; kita juga tidak mengehadkan kefahaman kita dalam
sempadan takrif yang bersifat perkauman atau batasan antropologis. Maksud
“Barat” merujuk kepada tradisi Yahudi-Kristian. Untuk memahami tradisi tersebut
memerlukan kefahaman sejarah dan kefahaman konsep-konsep tertentu. Dalam usaha
untuk mengemukakan satu kerangka ilmiah mengenai bagaimana sesuatu tradisi itu
muncul, seseorang pengkaji itu perlu meneliti tradisi tersebut hinggalah
kegiatan-kegiatan yang berciri saintifik dan akliah timbul dalam sejarahnya.
Kegiatan-kegiatan saintifik dan akliah mempunyai ciri-ciri yang khusus sifatnya
untuk tiap-tiap tradisi; ciri-cirinya yang berbeza timbul bertalian dengan
budaya dan sejarahnya masing-masing. Walau bagaimanapun, unsur yang
menyatupadukan antara pelbagai tradisi adalah kerangka (framework), atau
rumusan-rumusan pokok (principle formulations) ilmiahnya, melaluinyalah boleh
ditelusuri penjelasan mengenai kemunculan ilmu-ilmu sains tersebut dalam
tradisi-tradisi itu. Kerangka atau bingkai inilah yang kita namakan “pandangan-alam”.
Jelas bahawa pasang surut sesuatu tradisi sangat tergantung kepada semangat
akliah (intellectual dynamism). Semakin bertambah faham-faham akliah yang jelas,
maka semakin bertambahlah ilmu yang terhimpun. Himpunan pengetahuan ini
kemudiannya akan mengakibatkan perobahan faham-faham ilmiah yang khusus.
Lunas-lunas ilmiah yang tertentu akan dipersoalkan, dan penyelesaiannya akan
menimbulkan pertanyaan dan penyelidikan yang baru hinggalah kesimpulan tercapai,
yang secara beransur-ansur akan menghasilkan penubuhan institusi-institusi ilmu.
Justeru bolehlah kita simpulkan, bahawa pandangan- alam, atau rumusan-rumusan
pokok ilmulah yang mentakrifkan budaya dan sejarah dengan ciri-cirinya yang
khusus bagi tiap-tiap tradisi. “Khusus” bagi tiap-tiap tradisi; justeru,
tentulah ada perbezaan antara satu tradisi dengan satu tradisi yang lain. Secara
amnya kita boleh merumuskan bahawa tradisi Yahudi-Kristian telah membangun dalam
sejarah; lain kata, ia terbentuk melalui sederet kelaziman dan tradisi akliah
yang secara berturutan terbentuk berdasarkan persekitaran ideologi yang terbit
dari budaya dan perjalanan sains. Hakikatnya, ia tidak terbit dari tanzil dan
kerana itu bersifat tidak tetap, sentiasa bergantung kepada rumusan
ideologi-ideologi baru. Perlu dipertegaskan juga bahawa, oleh kerana
pandangan-alam Yahudi-Kristian tradisional tidak mengandungi ilmu-ilmu tanzil,
maka tidaklah terdapat unsur-unsur dasaran yang hakiki. Berlawanan dengan itu,
pandangan-alam Islam tidak terhasil dari budaya atau kegentingan dalam hidup
bermasyarakat; pandangan- alam Islam juga tidak tertakluk kepada sejarah atau
kemajuan penemuan sains. Sebaliknya, pandangan-alam Islamlah yang menghasilkan
budaya dan seterusnya tradisi sains. Ringkasnya, tanzillah yang menayangkan
unsur-unsur asas pandangan-alam; unsur-unsur asas yang ilmu mengenainya mencapai
taraf yakin. Dari penjelasan sepintas lalu ini, bolehlah disimpulkan dengan
keyakinan yang berasaskan logika dan fakta bahawa takrif “pandangan-alam” itu
sendiri adalah berbeza-beza mengikut setiap tradisi, dan sekali lagi perbezaan
tersebut jadi nyata dengan zahirnya Islam.
Dengan itu, turut jelas bahawa memahami “penciptaan” sebagai “teori” adalah
bersalahan dengan pandangan- alam Islam; sebenarnya, “penciptaan” adalah ajaran
tanzil. Anggapan bahawa “penciptaan” adalah satu “teori” hanya boleh berlaku
dalam rangka tradisi Yunani purba dan Yahudi-Kristian. Oleh itu, untuk menuntut
Kementerian Pelajaran “memastikan kesilapan yang sama tidak akan berulang”
serupalah dengan menyatakan bahawa Islam itu salah. Ini turut mengandaikan yang
tradisi Yunani dan Yahudi-Kristian sememangnya betul berdasarkan kepada hakikat
bahawa tradisi-tradisi tersebutlah yang menyampaikan ilmu yang benar serasi
dengan batas-batas logika dan fakta. Ini menimbulkan persoalan lain, iaitu,
apakah takrif ilmu? Bagi kita “ilmu” adalah pengertian mengenai sesuatu yang
nyata dengan ketibaan rupa dan maknanya dalam akal. Ada dua cara ilmu diperoleh;
pertamanya menerusi tasawur yang tidak melibatkan tasdik, sementara keduanya
adalah menerusi penyataan yang menggabungkan tasawur dan tasdik. Dalam dua-dua
keadaan tersebut, iaitu dalam tasawur dan tasdik, ketibaan kepada kesimpulan dan
seterusnya makna memerlukan kepada penggunaan tatacara pemahaman yang betul.
Tatacara ini menjadi dasar untuk memperoleh ilmu yang bermanfaat dan ia dianggap
sebagai cabang ilmu yang paling tulen kerana ia hanya berkenaan dengan bentuk
penghujahan dan bukan isi kandungannya. Inilah cabang pengetahuan logik atau
mantik. Walau bagaimanapun, ciri ilmu logik itu ada dua. Logik itu sendiri
adalah satu ilmu; tetapi bila ia dikenakan kepada ilmu-ilmu akli, logik adalah
alat yang dipergunakan oleh ilmu-ilmu tersebut untuk mencapai kesimpulan yang
benar berdasarkan kepada bukti-bukti yang betul dan disokong oleh penghujahan
yang sah serasi dengan tatacara mantik. Sekiranya kita ingin mentakrifkan logik
dari segi matlamatnya, kita boleh menyatakan bahawa logik bertujuan untuk
mentakrif batas-batas kebenaran ilmu; lain kata, mantik menentukan hakikat dan
faham ilmu. Bolehlah disimpulkan bahawa, untuk memberikan makna akliah kepada
sesuatu perkara yang ditanggap secara maknawi, had-had ilmiahnya perlulah
ditakrifkan. Had-had ilmiah ini ditentukan oleh setiap tradisi atau
pandangan-alam.
Kita telah memberikan gambaran umum yang ringkas mengenai perbezaan antara
tradisi Yahudi-Kristian dengan Islam. Berikut dari itu, tentulah akan wujud
perbezaan mendasar dalam mentakrifkan ilmu oleh tradisi-tradisi tersebut.
Dasar-dasar ilmu dalam tradisi Yahudi-Kristian sebahagian besarnya dipinjam dari
tradisi Yunani purba dan dibantu oleh aliran masya‘iyyah di kalangan Muslim.
Dengan ini, kita harus membetulkan teori yang dilaporkan oleh The Sun, bahawa
Aristotle dan Thomas Aquinas mempercayai “teori kemenjadian sendiri” (the theory
of spontaneous generation). Aristotle adalah seorang faylasuf dari golongan yang
percaya kepada teori limpahan. Dia percaya kepada adanya Wujud Yang Mutlak, yang
tidak tertakluk kepada kebinasaan dan kehapusan, Penggerak Yang Tidak Tergerak (Muharrik
la yataharrak; Unmoved Mover). Semua yang ada telah pun wujud sebagai
kemungkinan dalam “ilmu Tuhan”. Oleh kerana semua perkara telah pun wujud
sebagai mumkinat, berikutan itu secara logiknya mereka mestilah dijadikan.
Supaya itu berlaku, dan oleh kerana Tuhan ditanggap sebagai Penggerak Yang Tidak
Tergerak, benda-benda menjadi menerusi limpahan (sudur) yang berturutan
tertibnya. Hakikat bahawa ada ketertiban dalam deretan limpahan-limpahan
tersebut mengesahkan dari segi logiknya mumkinat bergerak ke maujudat, dan oleh
kerana itu “tiada” yang jadi “sendiri”. Teori ini kemudian telah diperakukan
oleh Thomas Aquinas yang memahami dan kemudiannya menerima teori-teori
Aristotle; walau bagaimanapun, pemahamannya terhadap teori-teori Aristotle bukan
datang dari sumber Yunani, yakni dari karya-karya Aristotle sendiri, sebaliknya
Aquinas asalnya memperguna dan memahamkan karya-karya al-Farabi, seorang
faylasuf Muslim dari aliran Aristotle yang percaya kepada limpahan kemenjadian.
Bukti-bukti yang sah menunjukkan bahawa Aquinas banyak meminjam hasil fikirannya
dari al-Farabi dan aliran beliau. Oleh itu bolehlah kita simpulkan yang falsafah
Aquinas banyak terpengaruh dengan mazhab al-sudur dalam falsafah Muslim.
Dalam satu lagi ulasan lain berkenaan beberapa teori mengenai asal-usul
kehidupan yang dinyatakan dalam akhbar berkenaan, Charles Darwin disebut sebagai
pengasas teori evolusi. Darwin adalah seorang ahli falsafah Barat yang sangat
biasa dengan karya-karya Ibn Sina, seorang lagi sarjana Muslim aliran Aristotle
yang pernah menulis mengenai martabat-martabat roh insani. Dengan cara yang
penuh bertata logika, Ibn Sina memperuntukkan suatu roh kepada setiap benda yang
wujud dengan membezakan antara roh galian, tumbuhan dan haiwan. Ini disalah
fahami oleh Darwin, yang percaya bahawa semua benda yang wujud tertakluk kepada
evolusi; justeru timbulnya “teori evolusi”. Harus diingat bahawa ia dirujuk
sebagai teori dan bukan undang-undang dalam sains. Tetapi kita telah menyimpang
dari maksud asal, untuk membetulkan faham yang memisahkan antara agama dan sains.
Hakikat bahawa tradisi Yahudi-Kristian menolak ilmu tanzil mengesahkan bahawa
dasar-dasar “saintifik” pemikiran logiknya tidak berasaskan keyakinan (al-yakin),
sebaliknya ia berasaskan duga-dugaan tanpa tasdik. Justeru, apa yang mereka
fahami mengenai keimanan juga hanyalah duga-dugaan dan tertakluk kepada rasa
syak, dan inilah yang menjadi landasan bagaimana “agama” sebagai “religion”
ditakrifkan di Barat. Bertentangan dengan ini, Islam menolak sangkaan dan
kesangsian dalam agama, dan maka itu agama ditakrifkan dalam Islam sebagai
“Din”. Penelitian terhadap al-Quran mengesahkan hakikat bahawa agama dalam
kerangka Yahudi Kristian adalah lebih sebagai satu millah (bentuk keagamaan)
daripada Din. Oleh itu, para pendukung faham tersebutlah yang seharusnya
membuktikan terlebih dahulu bahawa sains tidak ada tempat dalam agama. Walau
bagaimanapun, sekiranya mereka mahu membuktikan bahawa sains dan agama itu
terpisah, ini hanya mengesahkan kesalahan-kesalahan agama tersebut kerana
keyakinan mengenai yang satu (sains) pasti akan menghasilkan kesangsian mengenai
yang satu lagi (agama). Ambil sebagai satu contoh fakta bahawa masyarakat awal
Kristian percaya bumi sebagai datar, atau matahari mengelilingi bumi kerana
percaya bahawa bumi adalah pusat alam semesta. Andaian yang terakhir itu adalah
dipinjam dari kesarjanaan Yunani purba yang mempercayai faham insan yang
bersifat al-gha‘iy (teleological). Sains kemudiannya menunjukkan kesalahan
kedua-dua fahaman tersebut. Lebih tepat lagi, hinggalah kedatangan faylasuf
saintis Copernicus di abad ke-12 baharulah kepercayaan bahawa matahari
mengelilingi bumi telah diusir dari bidang ilmu.
Kita seharusnya menggalakkan pengajian yang bersifat dinamis terhadap sains;
sebaliknya nampaknya di sini sebahagian daripada ibu bapa yang jahil lagi keliru
ingin mengembalikan anak-anak mereka ke Zaman Pertengahan yang gelap-gelita
tanpa ilmu. Lebih buruk lagi, kepercayaan mereka yang tidak berasas dan salah
mahu dimasukkan pula dalam kurikulum sekolah, lalu merampas peluang untuk kaum
Muslimin memahami dengan tepat dan betul akan pandangan – alam dan khazanah
saintifik mereka. Lebih teruk lagi, kalau seorang politikus, seorang pengurus
pentadbiran, dibenarkan berlagak seperti sarjana dan bijak pandai. Keadaan
paling buruk berlaku apabila seseorang yang pandir menuntut sesuatu berlandaskan
kejahilan, kekeliruan dan kehampaan, dan berlagak seolah-olah kejahilannya itu
boleh menjadi sumber pengetahuan dan penelitian “sains” yang sangat penting.
Awal-awal tadi kita ada merujuk kepada ayat “semua benda hidup adalah diciptakan
oleh Tuhan,” terkandung dalam buku teks yang dipermasalahkan. Pada hemat saya,
kenyataan ini kurang tepat, dan menimbulkan masalah lain, iaitu bagaimana pula
dengan benda-benda yang tidak hidup? Sekiranya yang dimaksudkan adalah semua
benda (yang wujud sama ada hidup mahupun tidak) adalah diciptakan oleh Tuhan,
maka ayat yang ditulis sepatutnya mencerminkan hakikat ini dengan sepenuhnya.
Kalaulah ini dianggap “teori penciptaan” dan dicabar oleh segelintir ibu bapa
dan politikus, saya suka untuk bertanya bagaimana sesuatu benda menjadi tidak
ada atau mati. Bagaimanakah seseorang evolusionis mentakrifkan kematian secara
saintifik selaras dengan tatacara logika dan fakta? Cabaran ini dibuat kerana
mereka mendakwa teori evolusi adalah serasi dengan sains, yang berlandaskan
logika dan fakta. Bagaimanakah teori evolusi menjelaskan ketiadaan sesuatu benda?
Secara logiknya, fakta bahawa kita boleh merujuk kepada sesuatu benda bermakna
benda itu ada. Satu-satunya jawapan adalah, benda itu pernah ada tetapi sekarang
tidak ada lagi. Kita akan seterusnya bertanya, bagaimana ia boleh tidak ada
lagi? Satu-satunya jawapan adalah bahawa benda itu telah mati atau lenyap. Kita
akan seterusnya bertanya, bagaimana teori evolusi mentakrifkan kematian? Ini
tidak mungkin untuk dijawab tanpa terlebih dahulu memerhatikan persoalan agama;
dan jawapan terhadap soalan ini telah membingungkan sarjana Yunani, Barat dan
aliran Aristotle dari zaman ke zaman. Sejauh yang berkenaan dengan Islam,
mutakalim-faylasuf-saintis Muslim sedia menjawab persoalan- persoalan tersebut.
Mereka telah mentakrifkan penciptaan bertalian dengan satu daripada sifat-sifat
Allah. Justeru ketiadaan ditakrifkan sebagai Tuhan menghentikan perbuatan-Nya
mencipta.
Sama ada agama perlu diajar di sekolah atau tidak, itu adalah satu perkara lain.
Secara peribadi saya berpendapat bahawa agama, khasnya akidahnya, tidak perlu
diajar sebagai satu mata pelajaran di sekolah. Sebagai Muslim, amanah untuk
mengajarkan agama (Din) kepada seseorang anak dipikul oleh bapanya. Amanah ini
tidak seharusnya diwakilkan kepada orang lain dengan alasan mudah “kepantasan
hidup dalam zaman moden menyebabkan seseorang itu ketiadaan masa untuk mendidik
anak-anak”. Seseorang itu wajib menyediakan masa untuk menunaikan tanggungjawab
yang telah diamanahkan kepada orang Islam oleh Tuhan kerana ia mengandungi unsur
kedua-duanya fardu ain dan fardu kifayah. Berlainan dengan ini, akhlak (etika
dan moral) wajiblah diajar di sekolah sebagai satu mata pelajaran ilmu sains.
Ulasan saya ini adalah terlalu singkat mengenai masalah yang sebenarnya jauh
lebih besar, iaitu masalah kekeliruan ilmu. Kalau dibiarkan, masalah kekeliruan
ilmu akan menghasilkan lebih banyak kekacauan dan kemunduran.
- Dr. Syed Ali Tawfik al-Attas ialah Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam
Malaysia (IKIM).